Photobucket

Sunday, August 9, 2009

PETUA KHUSYUK SOLAT LIMA WAKTU


Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah
SWT Petikan dari Surah Al-Mukminun ayat 1-2 yang berbunyi
Maksudnya : Telah berjayalah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang
khusyuk dalam solatnya.
Firman Allah Taala SWT Petikan dari Surah Al-Baqarah ayat 238 yang berbunyi
Maksudnya : Peliharalah segala solatmu dan peliharalah solat utama (Asar, Subuh)
dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk.
Dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di
akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat
seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.
Firman Allah Petikan dari Surah Al-Ma'un ayat 4-5 yang berbunyi
Maksudnya : Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang
lalai dari solatnya .
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Berapa banyak orang yang mendirikan
solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai
dalam solatnya. Nabi Muhamad SAW bersabda lagi yang bermaksud : Tidak ada habuan
bagi seseorang hamba dalam solatnya kecuali
sekadar mana yang ia ingat. Hadis lain dari Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya
: Aku selalu mengingati mati dalam solat serta apabila kamu solat anggaplah solat
ini solat perpisahan .
Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan solat yang
khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang
mengerjakan solat antaranya :-
1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supayadatang
dari punca yang halal tanpa syubahat.
2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat
hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan solat terakhir dan perlulah
dijadikan yang terbaik.
3. Mendirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh
apakala masa hampir luput.
4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan
dalam solat termasuk ayat Al-Qur'an yang dibacakan itu terutama sekali Al-Fatihah,
gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi
banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.
5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul
Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan solat itu.
6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah SWT, rasa takut (Khauf)
kepada kekuasaan Allah.
7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.
8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari
segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.
9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.
10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan
pemikiran. Sekiranya boleh putih warnanya.
11. Mendirikan solat secara berjemaah. Bukan seorangan.
12. Mengambil wudu dengan sempurna dan tertib serta cermat.
13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga mata
ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.
14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan solat bersendirian ataupun
sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
15. Ditegah bersolat dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis,
lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika
berjemaah.
Walau apapun syarat khusyu' yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri
terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan
memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam solat
bermula dari khusyuk di luar solat.
Kalau di luar solat hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di
dalam solat. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya
adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati
Allah SWT. Ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan
mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan
berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa
solat itu merupakan "munajat"
(berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya.
Sayidina Ali a.s boleh khusyuk dalam solatnya hingga waktu orang mencabut panah di
betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sayidina Umar Al-Khattab
pernah berkata, Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tetapi khusyuk itu dalam hati.
Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah
hamba akan patuh apa saja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan
khusyuk mendapat nikmat solat dalam firman Allah Taala SWT. Petikan dari Surah Al-
Baqarah ayat 45-46 yang berbunyi
Maksudnya : Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang
demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. Yakni orangorang
yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan
bahawa mereka akan kembali kepadaNya

No comments:

Post a Comment

I love this blog