Photobucket

Monday, July 27, 2009

Ciri-ciri Yang Perlu Dihayati Oleh Kepimpinan Negara Umat Islam

Sejarah telah membuktikan bahawa kemajuan yang mampu dicapai oleh negara umat Islam banyak bergantung kepada kewibawaan dan kemampuan kepimpinan mengendali dan mentadbir sesebuah negara.

Kegemilangan kecapaian umat Islam kemuncaknya dicapai di zaman pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W. Bahkan pada zaman tersebut umat manusia berada dikemuncak kejayaan. Nilai-nilai kemanusiaan yang utuh dihayati dengan sempurna, seperti nilai kebenaran, keadilan dan kasih sayang dalam kehidupan bernegara. Kemuliaan tamadun tersebut mampu diteruskan oleh kepimpinan Khalifah ar-Rashidin.

Kemampuan seseorang pemimpin melaksanakan nilai-nilai tersebut boleh menjadi penentu kepada kemajuan tamadun umat manusia semasa. Kegagalan menghayati nilai-nilai tersebut, kepincangan dan kemelut hidup manusia akan wujud dan kerenah kemanusiaan akan menjadi kenyataan. Keadaan yang sedemikian jika berterusan akan menimbul banyak kesusahan dan penderitaan kehidupan manusia.

Dalam suasana semasa dan masa hadapan, kepemimpinan negara perlu memiliki beberapa ciri yang membolehkan mereka membawa sesebuah negara umat Islam maju kehadapan. Di antara ciri tersebut adalah berikut:

Pertama, pemimpin negara perlu mendokong idealisme yang luhur, berakhlak dan jujur untuk memajukan rakyat dan negara.

Tanpa sifat ini negara tidak mungkin maju dan nasib rakyat tidak akan terbela. Sejarah telah membuktikan dan keadaan semasa jelas menyokong pandangan ini bahawa kemajuan sesebuah negara berkait rapat dengan ciri kepemimpinan tersebut di sesebuah negara.

Kedua, kepimpinan negara perlu menguasai ilmu dan pemikiran yang mantap yang berasaskan nilai kemanusiaan secara mendalam. Justeru itu sistem pengendalian negara perlu bersandarkan kepada asas fahaman yang jitu yang didokong oleh Arahan Illahi.

Dalam zaman semasa kita dapati sistem pengendalian negara yang berasaskan sistem kefahaman yang tidak mantap dan tidak menepati nilai kemanusiaan menghadapi keruntuhan dan menimbul berbagai bentuk gejala kepada masyarakat negara terbabit. Sistem Marxis/Komunis terpaksa berkubur kerana pendekatannya bercanggah dengan nilai kemanusiaan. Begitu juga tamadun sekular Barat yang diasaskan kepada ideologi Liberal Kapitalis. Banyak kerenah kemanusiaan terpaksa wujud disebabkan pendekatannya turut bercanggah dengan fitrah kemanusiaan.

Sejarah telah membuktikan dan begitu juga keadaan yang terdapat sekarang, bahawa sesebuah negara yang mencapai taraf perekonomian yang maju tidak akan dapat mengekal kecepatan kemajuan bahkan terpaksa menghadapi kemunduran jika kekuatan ekonomi tidak disertai dengan kekuatan nilai kemanusiaan. Keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat seperti amalan rasuah secara berleluasa, amalan menindas, menipu dan sebagainya dalam masyarakat adalah fakta-fakta utama yang melemahkan dan seterusnya meruntuhkan sesebuah sistem sosial bernegara.

Ketiga, kepemimpinan negara perlu dikendali oleh ahli politik yang pintar serta berkemampuan. Kebolehan ini penting kepada pemimpin politik yang akan diamanahkan untuk menerajui negeri dan negara. Kejayaan untuk membangunkan martabat masyarakat bergantung kepada kemampuan pucuk pimpinan. Kejayaan kepimpinan Rasulullah s.a.w. dan Khalifah Al-Rashidun adalah bukti yang nyata. Pada satu kajian yang dibuat oleh Professor P.Kotter dari Harvard Business School, lapan puluh peratus (80%) kejayaan sesebuah organisasi termasuk sesebuah negara bergantung rapat dengan mutu kepimpinan.

Dalam zaman semasa yang penuh dengan cabaran dan persaingan, seseorang pemimpin perlu memahami suasana di dalam negara berkaitan dengan kekuatan dan kelemahan sistem, keupayaan rakyat, dan sumber negara. Mereka harus mampu mengembeling kesemua lapisan rakyat untuk memajukan negara ke peringkat yang tertinggi. Kesemua ahli masyarakat dalam negara hendaklah berperanan pada peringkat yang tertinggi dalam usaha pembangunan tersebut.

Keempat, kepemimpinan negara harus mampu menerajui negara untuk berperanan secara berkesan di peringkat antarabangsa.

Dalam zaman globalisasi, samada kita mahu atau tidak mahu, negara hanya boleh dimajukan di peringkat tinggi jika negara berkemampuan berperanan di peringkat antarabangsa. Oleh itu setiap aktiviti ekonomi perlu bermatlamat untuk menguasai pasaran, jika mampu di pasaran antarabangsa.

Kepemimpinan negara umat Islam, justeru itu, tidak boleh memisahkan diri mereka dengan ajaran Islam. Untuk maju dan berjaya di peringkat sejagat, Islam mempunyai pendekatan yang syumul dengan berasaskan nilai kemanusiaan yang mampu bersaing dan seterusnya mengatasi corak pembangunan negara sekular yang pendekatannya bercanggah dengan fitrah kemanusiaan.

Sebagai umat Islam kita yakin bahawa kekuatan yang ada dengan pendekatan Islam dalam menyusun dan membangunkan negara adalah menepati fitrah kemanusiaan. Mana-mana pendekatan dalam menyusun dan memajukan masyarakat dan negara bertentangan dengan fitrah kemanusiaan akan gagal mewujudkan sebuah peradaban manusia yang sempurna di dunia dan sudah pasti pembalasan yang negatif di alam akhirat.

Islam adalah satu deen yang merangkumi segala aspek pengendalian hidup untuk individu, keluarga, masyarakat dan negara. Ia berasaskan kepada falsafah tauhid, di mana tauhid mencorak cara hidup dan merupakan inti tamadun umat Islam. Ia juga merupakan asas falsafah sistem pengendalian negara.

Dengan mendukung falsafah tauhid, Islam berpandangan bahawa semua ciri keperluan yang terdapat dalam diri manusia berada dalam satu kesatuan. Dengan itu, kesempurnaan keperibadian seseorang manusia itu akan tercapai jika semua ciri dalam dirinya diberi penumpuan dengan sepenuhnya tanpa sebarang pengecualian. Keperluan kebendaan dan kerohanian manusia hendaklah dipenuhi dalam bentuk yang bersepadu. Begitu juga dengan kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Kesemua aspek keperluan diberi tumpuan yang saksama.

Dalam rangka ke arah pembentukan peribadi individu yang bersepadu, Islam menyarankan kepada perlunya pelaksanaan sistem pengendalian negara yang dapat mendukung falsafah tauhid. Justeru itu sistem pendidikan negara perlu mampu melahirkan individu yang memiliki pandangan hidup yang sempurna, akhlak diri yang baik dan menguasai kemahiran hidup yang sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Pembentukan peribadi individu turut memerlukan suasana yang menyokong segala kegiatan yang dijalankan oleh setiap individu tersebut. Polisi dan dasar pentadbiran negara dengan itu hendaklah berjaya mengarahkan kepada kewujudan suasana keadilan dan muafakat di kalangan ahli masyarakat. Suasana ini akan membawa kepada keharmonian yang seterusnya dapat menghasilkan kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.

Berpandukan kepada pendekatan hidup yang berasaskan tauhid ini, pendekatan Islam dalam kesemua kegiatan aktiviti manusia, hendaklah menepati fitrah dan cita rasa manusia semulajadi. Islam tidak membebankan sesuatu tuntutan yang mustahil dapat dikendalikan oleh manusia. Oleh itu, Islam adalah amali untuk semua masa, tempat dan untuk kesemua individu samada yang beragama Islam ataupun tidak. Islam berpandangan bahawa mengingkari Petunjuk Allah S.W.T adalah merupakan suatu amalan yang zalim terhadap diri seseorang itu sendiri, kefahamannya (understanding) dan kebijaksanaannya (intelligence). Bahkan, keangkuhan kepada penolakan terhadap kebenaran wujudnya Petunjuk Allah S.W.T menyebabkan lahirnya pandangan hidup kebendaan (materialistic outlook) di dalam diri manusia dan masyarakat seperti dalam Sistem Ekonomi Kapitalisme dan Marxisme.

Oleh itu kepimpinan negara umat Islam, wajib yakin kepada pendekatan Islam dan berjiwa ikhlas untuk membangun negara semoga kesemua lapisan rakyat memperolehi kemuliaan hidup dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

Petikan: Datuk Nik Mustapha Bin Haji Nik Hassan
Timbalan Ketua Pengarah

07/07/2009 | Berita Harian

No comments:

Post a Comment

I love this blog